Sampah: Sisa Kehidupan Yang Perlu Ditangani Bersama
Author: Prof. Dr. Kamisah Osman
Posted On: April 19, 2026
Sampah merupakan realiti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Perbezaannya bukan pada kewujudan sampah itu sendiri, tetapi pada cara bagaimana ia diuruskan sama ada secara sistematik atau sebaliknya. Tahukah anda, sikap tidak peduli terhadap alam sekitar boleh membawa kesan jangka panjang yang serius. Bayangkan sekeping plastik yang dibuang di tepi jalan ditiup angin, ia akhirnya memasuki longkang berhampiran. Plastik tersebut berpotensi menyumbat saliran, seterusnya menyebabkan banjir kilat apabila berlakunya hujan lebat yang berlarutan. Jika plastik itu terus dihanyutkan oleh air, ia boleh memasuki sungai yang berdekatan dan akhirnya sampai ke lautan. Sisa plastik menjadi ancaman besar bagi ekosistem marin. Hidupan laut seperti penyu, ikan dan burung laut sering tersilap menganggap plastik sebagai makanan. Banyak laporan menunjukkan penyu mati akibat tercekik oleh straw atau plastik yang ditelan. Kejadian seperti ini jelas menggambarkan bahawa sikap sambil lewa manusia terhadap pengurusan sampah bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut mengancam kelangsungan hidup spesies lain dalam suat habitat kehidupan.
Justeru, apakah yang boleh kita lakukan walaupun melalui sekecil-kecil tindakan, bagi membantu mengurangkan masalah ini? Sesuatu perubahan dan pembudayaan gaya hidup yang positif pastinya bermula dari rumah. Satu langkah mudah yang boleh dilakukan ialah mengasingkan sisa kitar semula seperti plastik, tin aluminium, dan kertas atau kadbod. Kajian menunjukkan bahawa plastik merupakan antara komponen terbesar dalam sisa domestik. Oleh itu, sebelum membuang bekas plastik makanan atau minuman, bersihkan sisa makanan yang melekat, keringkan, dan masukkan ke dalam bekas khas untuk dikumpulkan dan dihantar ke pusat kitar semula.Walaupun tindakan seumpama itu kelihatan kecil, kelestarian dalam melakukan amalan ini mampu memupuk rasa tanggungjawab yang seterusnya meningkatkan kesedaran kita terhadap kepentingan memelihara alam sekitar. Selain itu, apabila melihat sesuatu kawasan itu dipenuhi sampah dan tidak terurus, kita tidak seharusnya sekadar berasa simpati mahupun menunjukkan reaksi ketidakselesaan semata-mata. Sebaliknya, langkah proaktif perlu diambil. Individu atau komuniti boleh memulakan inisiatif dengan berhubung dengan organisasi tempatan, institusi pendidikan, atau mana-mana agensi berkaitan bagi memulakan insiatif program pembersihan bersama masyarakat setempat. Kadangkala perubahan memerlukan seorang penggerak atau pemula yang berani memulakan langkah pertama seperti pepatah yang berbunyi ”perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama”.
Sebagai contoh, Kursi Kelestarian UKM-YSD melalui Teras Literasi Keletarian telah mengadakan tinjauan awal di beberapa kawasan kampung di pesisir pantai yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. Hasil tinjauan mendapati persekitaran tersebut dipenuhi dengan botol plastik dan pelbagai jenis sisa lain, sekaligus mencemarkan keindahan semula jadi kawasan tersebut. Sehubungan itu, dua Program Pembersihan Pesisiran Pantai telah dilaksanakan pada hujung tahun 2024 di pesisiran pantai Tebengau, Kedah dan awal tahun 2026 di Kuala Sala, Kedah. Program ini menyasarkan penglibatan komuniti pelbagai peringkat dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Penglibatan kanak-kanak dan kumpulan remaja dalam komuniti amat dititik beratkan kerana mereka inilah merupakan pewaris alam sekitar yang didiami ini pada masa akan datang. Kesedaran dalam kalangan mereka harus disematkan serta diterjemahkan kepada perubahan tingkahlaku alam sekitar yan mampan.
Penganjuran program ini menekankan tiga elemen utama, iaitu advokasi, tindakan iklim dan amalan lestari. Elemen advokasi dilaksanakan melalui perkongsian ilmu oleh wakil agensi tempatan bagi meningkatkan kesedaran komuniti tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Advokasi turut menegaskan bagaimana melalui aktibiti pembelajaran berteraskan STEM kesedaran dapat dimulakan khususnya kepada kumpulan komuniti yang masih dibangku persekolahan.Tindakan iklim pula diterjemahkan melalui aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pesisir pantai. Antara peralatan penting yang digunakan termasuk penyepit sampah, plastik sampah besar, sarung tangan dan kasut but. Impak program ini dapat diterjemahkan apabila secara keseluruhan bagi kedua-dua program ini, hasil kutipan sampah sejumlah ~726 kg berjaya dikutip dan 502.4 kg barang boleh dikitar semula telah dijual pada hari program tersebut. Bagi aspek keselamatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dijemput bagi memberi sokongan dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan kawasan pembersihan melibatkan belukar dan kawasan berlumpur. Dalam masa yang sama, amalan lestari turut dipraktikkan apabila peserta digalakkan membawa bahan kitar semula untuk dijual kepada syarikat konsesi tempatan, E-Idaman Sdn. Bhd. Di samping itu, amalan lestari turut diperkasakan melalui kesinambungan aktiviti seumpama ini secara berterusan, pemerkasaan pengetahuan serta pemupukan sikap dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti berteraskan STEM di sekolah serta teladan yang ditunjukkan oleh ketua keluarga mahupun komuniti.
Penyertaan masyarakat dalam program yang dijayakan ini amat memberangsangkan. Pelbagai lapisan umur, jantina dan latar belakang kerjaya turun padang bersama-sama menjayakan aktiviti pembersihan tersebut. Lebih membanggakan, kanak-kanak menunjukkan semangat yang tinggi dalam menyertai aktiviti ini. Golongan muda inilah yang sebenarnya berpotensi menjadi ejen perubahan dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar. Penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik serta komuniti setempat membuktikan bahawa kerjasama kolektif mampu memberikan impak besar kepada usaha pemeliharaan alam sekitar. Hakikatnya, menjaga kebersihan dan kelestarian alam bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan berterusan daripada semua lapisan masyarakat. Hanya melalui kebersamaan yang padu, inisiatif seumpama ini akan mencambahkan hasil yang kita harapkan. Justeru, tidak hairanlah kita sering kali mendengar peribahasa ini – bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Penglibatan pelbagai agensi dalam aktiviti yang dilakukanSebahagian besar peserta yang terlibat adalah kumpulan pelajarSebahagian besar peserta yang terlibat adalah kumpulan pelajarKebersamaan dalam melaksanakan aktiviti ke arah kesejahteraan bersamaKebersamaan dalam melaksanakan aktiviti ke arah kesejahteraan bersama