Perubahan iklim bukan lagi isu global yang hanya dibincangkan oleh saintis atau dalam laporan akademik. Ia kini semakin dirasai oleh komuniti setempat, khususnya di kawasan pesisir seperti Kuala Kedah, sebuah permukiman nelayan dan petani di daerah Kota Setar, Kedah. Kehidupan di permukiman berkenaan semakin hari semakin mengusarkan para penghuninya. Nelayan berhadapan dengan hasil tangkapan yang tidak menentu, petani pula bergelut dengan perubahan pola hujan dan kemarau yang berpanjangan, manakala komuniti keseluruhannya semakin terdedah kepada risiko hakisan pantai, kemasukan air laut ke kawasan tanaman, serta kemerosotan kualiti alam sekitar. Keadaan ini menuntut mereka untuk menyesuaikan diri dan membina keupayaan beradaptasi dengan perubahan yang berlaku. Penyesuaian ini penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan, kelestarian sumber alam terus terpelihara, walaupun berdepan tekanan cuaca dan iklim yang semakin mencabar hari demi hari. Justeru, bagi memperkasa kesedaran masyarakat, Program Celik Kelestarian Alam Sekitar yang diilhamkan oleh kepimpinan dalam Kursi kelestarian UKM-YSD telah dilaksanakan di perkarangan Masjid Ar-Ma’rufi, Seberang Kota, Kuala Kedah. Program ini berjaya menarik penglibatan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkukuh tindakan komuniti terhadap isu perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar. Ia merupakan kesinambungan kepada Program Intervensi Pemerkasaan Kelestarian Komuniti serta aktiviti pembersihan pesisiran pantai yang telah dilaksanakan sebelum ini. Pendekatan berterusan ini penting kerana perubahan tingkah laku tidak berlaku secara serta-merta, sebaliknya memerlukan pendedahan berulang serta pengalaman praktikal di lapangan. Menariknya, program ini menampilkan pendekatan interaktif melalui beberapa stesen pendidikan yang memberi pendedahan dan aktiviti secara langsung kepada peserta. Pendekatan ini selari dengan konsep STEM yang menekankan pembelajaran melalui pemerhatian, eksperimen dan aplikasi dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, stesen “Jimat Air Lebih Baik” memperkenalkan konsep jejak air kepada peserta. Melalui aktiviti ini, peserta mula memahami bahawa setiap aktiviti harian seperti membasuh pakaian, mandi atau memasak melibatkan penggunaan air yang besar. Kesedaran ini membantu masyarakat melihat bahawa penjimatan air bukan sekadar amalan kecil, tetapi mampu memberi kesan besar kepada kelestarian sumber. Selain itu, stesen “Dari Sisa ke Nilai” memberi pendedahan kepada konsep “waste to wealth” melalui aktiviti menghasilkan beg kitar semula daripada pakaian terpakai. Pendekatan ini menunjukkan bahawa sisa bukan semestinya bahan buangan, sebaliknya boleh ditukar menjadi sumber bernilai. Analogi mudahnya, sisa ibarat duit syiling yang tercicir yang mana kecil nilainya, tetapi apabila dikumpulkan mampu memberi manfaat yang besar. Aktiviti sebegini membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap pengurusan sisa dan seterusnya menggalakkan amalan kitar semula secara praktikal dalam kehidupan harian. Dalam masa yang sama, stesen “Akar untuk Masa Depan” memberi fokus kepada hubungan antara perubahan iklim dan sekuriti makanan. Peserta diperkenalkan kepada kaedah penanaman lestari yang boleh membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca. Ini penting kerana ketahanan makanan tidak hanya bergantung kepada hasil semasa, tetapi juga keupayaan komuniti menyesuaikan teknik pertanian dengan perubahan persekitaran. Pendekatan ini menjadikan sains pertanian lebih dekat dengan kehidupan harian masyarakat. Peserta juga didedahkan bahawa sisa makanan seperti biji sayur atau buah boleh dikeringkan dan disimpan sebagai stok benih untuk tanaman semula, sekali gus menyokong konsep kitaran sumber yang lebih lestari. Stesen “Kesedaran Pesisir Pantai” pula mengetengahkan isu hakisan pantai, perubahan pH air laut dan kesan perubahan iklim terhadap kawasan pesisir. Melalui pendedahan ini, peserta memahami bahawa perubahan yang berlaku bukan sekadar fenomena semula jadi, tetapi berkait rapat dengan aktiviti manusia dan perubahan iklim global. Apabila konsep saintifik diterjemahkan dalam bentuk aktiviti mudah dan interaktif, ia menjadi lebih mudah difahami dan dekat dengan kehidupan komuniti. Program ini melibatkan seramai 81 peserta komuniti secara langsung dengan jumlah keseluruhan kehadiran hampir 120 orang termasuk rakan kolaborator dan urusetia. Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan tindakan kolektif dalam menangani cabaran perubahan iklim. Kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti setempat turut memperkukuh jaringan sokongan dalam usaha membina masyarakat yang lebih lestari dan berdaya tahan. Secara keseluruhannya, Program Celik Kelestarian Alam Sekitar yang diterajui oleh Kursi kelestarian UKM-YSD membuktikan bahawa pendekatan STEM yang santai, interaktif dan berasaskan komuniti mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu perubahan iklim. Apabila sains dibawa lebih dekat kepada komuniti melalui aktiviti praktikal sebegini, perubahan tingkah laku menjadi lebih mudah dijelmakan. Harapannya, inisiatif seperti ini dapat terus dilestarikan serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan pesisir dan pertanian agar masyarakat bukan sahaja sedar tentang perubahan iklim, tetapi juga turut menjadi ejen perubahan dalam membina masa depan yang lebih lestari serta harmoni untuk generasi akan datang.