TVET Untuk Si Cilik: Tiket Emas Kerjaya Masa Depan Anak-Anak
Author: Dr. Fathiyah Mohd Kamaruzaman
Posted On: April 19, 2026
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini tidak lagi bergelar ‘pilihan kedua’ atau sekadar pelan sandaran bagi pelajar yang kurang menonjol dalam bidang akademik. Sebaliknya, ia telah berevolusi menjadi tonggak utama yang memacu kemajuan ekonomi negara.
Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 telah mengambil langkah berani dengan memperkenalkan elemen TVET seawal peringkat sekolah rendah, bermula pada sesi persekolahan tahun 2027. Inisiatif strategik ini merupakan langkah proaktif untuk memberi pendedahan awal, sekaligus mencungkil potensi dan bakat kemahiran individu pada usia yang masih rebung. Dengan asas yang kukuh sejak di bangku sekolah rendah, laluan mereka untuk menyambung pengajian ke institusi TVET kelak akan menjadi lebih lancar, terarah, dan tidak lagi dipandang janggal.
Namun, adakah pendidikan TVET sesuai untuk diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah?
Pernyataan ini sememangnya mencetuskan perbezaan pandangan daripada pelbagai pihak. Walaupun ada yang menyambut baik, tidak dinafikan masih ramai yang skeptikal dan tidak menyokong inisiatif ini atas faktor usia. Di sinilah kita perlu membuka minda dan melihat perancangan ini daripada lensa yang lebih luas dan positif.
Perkara paling utama yang mesti dilakukan oleh masyarakat adalah membuang jauh-jauh stigma lapuk yang melabelkan laluan vokasional sebagai kelas kedua. Kalau dahulu, sebut sahaja TVET, pasti ramai yang tersalah anggap ia sekadar kemahiran bertukang, membaiki enjin, atau kerja kolar biru yang mengendalikan mesin secara manual semata-mata. Ketahuilah bahawa naratif lapuk itu kini telah dirombak sepenuhnya!
Institusi TVET pada hari ini tidak lagi bermatlamat untuk melahirkan ‘operator kilang’ yang hanya menerima arahan. Sebaliknya, melalui kerangka dasar TVET aras tinggi, fokus utama kerajaan adalah untuk melahirkan bakat berstruktur yang “kalis masa hadapan” (future-proof). Realitinya, matlamat akhir mana-mana sistem pendidikan adalah kelangsungan hidup. Apabila tamat belajar, objektif paling penting adalah untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan membina kerjaya. Dalam hal ini, kelebihan TVET sebagai laluan utama pendidikan tidak boleh dipertikaikan lagi.
Telah banyak bukti kejayaan graduan TVET yang berjaya meraih pendapatan lumayan sejurus tamat pengajian. Sebagai contoh, kepakaran dalam bidang kimpalan (seperti kimpalan dasar laut) atau kejuruteraan penyelenggaraan mampu memberikan pulangan gaji sehingga lima angka sebulan, jauh meninggalkan sesetengah kerjaya makan gaji yang tradisional.
Lebih menarik lagi, graduan TVET mempunyai kelebihan unik untuk bergelar pencipta pekerjaan (job creators). Mereka tidak perlu bersaing sengit untuk mengisi kekosongan kerja sedia ada yang semakin terhad. Sebaliknya, kemahiran yang diperoleh membolehkan mereka membuka perniagaan sendiri seperti salun kecantikan, kedai jahit moden, bakeri, kafe, dan bengkel automotif, yang akhirnya merancakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat. Masyarakat juga perlu sedar bahawa skop pendidikan TVET sebenarnya sangat luas dan rencam. Ia bukan hanya terikat kepada kerja-kerja teknikal dan kejuruteraan yang berat, tetapi turut merangkumi sektor perkhidmatan dan hospitaliti seperti pelancongan, pengurusan acara, seni kulinari, perkhidmatan kesihatan, hingga kepada teknologi pertanian pintar (smart farming).
Kesimpulannya, pengenalan TVET di sekolah rendah bukanlah bertujuan untuk mengerah anak-anak bekerja lebih awal, tetapi ia adalah satu literasi kemahiran asas. Langkah ini mempersiapkan generasi muda kita dengan set kemahiran praktikal yang bernilai tinggi. Sudah tiba masanya kita meraikan kepelbagaian kecerdasan anak-anak dan mengangkat TVET sebagai laluan emas menuju kejayaan peribadi dan kelestarian ekonomi negara.