TVET sebagai Pemacu Ekonomi Madani: Mendekonstruksi Persepsi Negatif dalam Pendidikan Teknikal melalui Dasar TVET Negara 2030
Author: Dr. Marlissa Omar
Posted On: April 17, 2026
Selama berdekad lamanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dilabelkan sebagai “pilihan kedua” atau “laluan pelajar keciciran” dan ianya seolah-olah menjadi stigma yang melekat kuat dalam sanubari masyarakat. Namun, dalam era pascapandemik yang menuntut ketangkasan ekonomi, naratif usang ini perlu didekonstruksi secara total. Menerusi pelancaran Dasar TVET Negara 2030, Malaysia kini berada di ambang transformasi besar. TVET bukan lagi sekadar alternatif, tetapi merupakan pemacu utama kepada kerangka Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan inklusif, nilai mampan, dan kemahiran tinggi. Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia menerusi Dokumen Dasar TVET Negara 2030, “Tumpuan utama Dasar TVET Negara 2030 adalah untuk melahirkan pekerja berkemahiran berpendapatan tinggi”. Justeru, pendekatan konvensional yang meletakkan TVET sebagai ‘pelan sandaran’ perlu dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada sistem pendidikan teknikal yang lebih dinamik dan berprestasi tinggi.
Memecah Tembok Stigma
Langkah pertama dalam mendekonstruksi persepsi negatif adalah dengan mencabar mitos bahawa TVET adalah pendidikan “kelas kedua”. Hakikatnya, landskap industri global hari ini tidak lagi memburu segulung ijazah teori semata-mata, sebaliknya mendahagakan kompetensi dan kemahiran teknikal yang spesifik. Majikan pada masa kini lebih melihat kepada aspek kompetensi dan kemahiran individu berbanding sijil kelayakan kerana dunia industri yang dinamik menuntut hasil kerja yang nyata, pantas, dan relevan dengan teknologi terkini. Sijil mungkin membuktikan seseorang itu berjaya dalam teori akademik, namun kompetensi membuktikan individu tersebut mampu mengendalikan tugasan sebenar di lapangan dan menyelesaikan krisis teknikal tanpa perlu latihan asas yang panjang. Majikan kini lebih cenderung memilih calon yang boleh terus menyumbang kepada syarikat (plug-and-play) bagi menjimatkan kos dan masa latihan semula (re-training) yang tinggi.
Dasar TVET Negara 2030 hadir sebagai agen perubahan sistemik. Dengan memperkenalkan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET sebagai usaha untuk mengharmonikan sistem jaminan kualiti yang pelbagai yang wujud sebelum ini, kerajaan bermatlamat untuk menghapuskan kekeliruan antara pelbagai institusi, sekali gus mengangkat martabat lulusan TVET agar setaraf dengan aliran akademik konvensional. Apabila kualiti latihan diseragamkan, nilai pasaran graduan akan meningkat secara automatik, memadamkan keraguan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak mereka yang terlibat di dalam bidang ini.
Salah satu tunjang utama dalam Dasar TVET Negara 2030 adalah penglibatan aktif pihak industri. Kita tidak lagi boleh melahirkan graduan yang memiliki kemahiran “semalam” untuk industri “hari ini”. Dekonstruksi stigma dilakukan dengan membuktikan bahawa pelajar TVET adalah barisan hadapan dalam mengendalikan teknologi kecerdasan buatan (AI), robotik, dan tenaga boleh diperbaharui.
Photo: AI
Melalui kolaborasi dengan gergasi industri seperti Geely, dan Petronas, kurikulum TVET kini bersifat dinamik. Pelajar tidak hanya belajar di dalam kelas, tetapi berada di fasiliti sebenar industri. Ini secara langsung menukar persepsi kerjaya “Kotor, Bahaya, Sukar” kepada kerjaya “High-Value” yang menawarkan gaji premium dan jaminan kerjaya yang stabil.
Mobiliti dan Laluan Kerjaya Masa Hadapan
Sering kali, stigma muncul kerana tanggapan bahawa TVET adalah “jalan mati”. Dasar TVET Negara 2030 mematahkan hujah ini melalui pengukuhan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Seorang pemegang sijil kemahiran kini mempunyai laluan jelas untuk mendaki tangga akademik sehingga ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang teknologi sekaligus membuka lebih banyak ruang peluang pekerjaan dan potensi kepada pemilik sijil kemahiran pada masa kini dan akan datang.
Fleksibiliti ini, yang turut disokong oleh sistem Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu, membolehkan pekerja mahir meningkatkan kelayakan mereka tanpa perlu berhenti kerja. Inilah intipati Ekonomi Madani yang bermatlamat menyediakan peluang yang adil untuk semua lapisan rakyat meningkatkan taraf hidup melalui bakat dan usaha, tanpa diskriminasi latar belakang pendidikan.
Mendekonstruksi stigma TVET memerlukan anjakan paradigma daripada semua pihak—ibu bapa, pendidik, dan majikan. Kita perlu melihat TVET bukan sebagai “pelan kecemasan” untuk mereka yang gagal secara akademik, tetapi sebagai pelaburan strategik untuk membina tenaga kerja yang kalis masa hadapan. Sudah tiba masanya kita berbangga dengan “tangan yang berkemahiran”, kerana di tangan merekalah, masa depan ekonomi negara dicorakkan.