Gelombang kepesatan dan kecanggihan teknologi yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) kini bukan lagi sekadar retorik di atas kertas, tetapi telah menjadi tumpuan utama dan agenda yang mengubah landskap kehidupan di seluruh pelosok dunia. Secara mudahnya, pakar ekonomi dunia bersetuju bahawa 4IR ini dipacu oleh tiga benda utama: fizikal, digital, dan biologikal. Cuba bayangkan kepesatan teknologi di sekeliling kita sekarang, daripada penggunaan realiti maya (VR), keselamatan siber, penyimpanan data di awan (cloud computing), hinggalah kepada robot automasi pintar dan Internet of Things (IoT) yang menghubungkan pelabagai peranti dengan intenet. Segalanya bergerak dengan sangat pantas! Namun, perkembangan yang mendadak ini mencetuskan satu kebimbangan yang besar. Ramai yang mula bimbang kerana kepesatan teknologi ini dijangka akan mula menggantikan pelbagai fungsi tenaga kerja manusia dengan system pengautomasian dan robotik.
Persoalannya, Mampukah tenaga kerja manusia bertahan menghadapi ancaman pengautomasian dan robotik?
Mesin memang luar biasa, tetapi tiada insaniah
Betul, teknologi hari ini sangat hebat dan tidak dapat ditandingi oleh kudrat manusia. Tugas atau kerja yang bersifat rutin, berulang-ulang dalam dunia pekerjaan moden adalah jauh lebih pantas dan bebas ralat apabila dikendalikan oleh mesin. Disinilah wujud satu realiti baharu yang menuntut tenaga kerja moden untuk memastikan mereka kekal relevan dan tidak lenyap ditelan oleh arus kemajuan teknologi.Apabila pengautomasian mula mengambil alih kerja-kerja fizikal dan logik, pasaran kerja mula meletakkan nilai yang sangat tinggi pada ciri-ciri yang mustahil untuk diprogramkan ke dalam mesin. Kemahiran kepintaran emosi (emotional intelligent – EQ) muncul sebagai kemahiran kelangsungan hidup yang paling kritikal.
Sumber Photo: https://www.protouchpro.com/guest-posts/emotional-intelligence-assessing-and-training-ones-self/
Sungguhpun teknologi canggih memiliki keupayaan luar biasa untuk menganalisis data raya dalam beberapa saat, membuat operasi kompleks namun tiada satu pun alat atau mesin yang dapat menggantikan sifat empati dan ihsan. Sebuah sistem kecerdasan buatan (AI) mungkin sangat cekap mengesan kesilapan penghantaran barang, tetapi ia tidak pandai memujuk pelanggan yang sedang mengamuk! Nilai-nilai kemanusiaan dan insaniah inilah yang menjadi garis pemisah mutlak antara manusia dan mesin.
EQ sebagai upskilling pekerja moden
Oleh itu, hakikatnya, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi dalam pencarian pekerja yang mahir. Syarikat dan majikan sedang memburu mereka yang memiliki “aset premium” berteraskan kepintaran emosi. Dalam pencarian pekerja yang mahir, majikan melihat tahap EQ sebagai penentu kejayaan sesebuah pasukan. Ciri-ciri seperti kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu, kemampuan menangani masalah peribadi secara matang, mengurus emosi sendiri, penyimbangan kehidupan peribadi dengan kerja serta berfikiran positif adalah nilai yang sangat mahal.
Kesimpulannya, kita tidak perlu takut dengan kehadiran teknologi. Biarkan mesin mengambil alih tugas-tugas berat dan pemprosesan maklumat, sementara manusia kekal di hadapan, memimpin dengan jiwa dan empati. Kita perlu memastikan diri kita sentiasa tingkatkan kemahiran (upskill) supaya kekal relevan dan tidak lenyap ditelan arus kemajuan teknologi.