Keciciran anak-anak khususnya pelajar di sekolah rendah dalam numerasi semakin membimbangkan. Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu perkembangan pembelajaran mereka dalam matepelajaran matematik. Bagaimanapun, peranan untuk membantu anak-anak daripada tercicir numerasi bukanlah terletak di bahu guru disekolah sahaja, namun usaha yang lebih besar perlu dimainkan oleh Ibubapa melalui pelbagai inisiatif dalam memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam numerasi. Pada masa kini, kandungan topik dalam buku teks matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah dilihat semakin mencabar dan hal ini akan menambahkan lagi masalah pembelajaran pelajar dalam matematik apabila kemahiran numerasi asas tidak dikuasai dengan baik. Bukan itu sahaja, keciciran pelajar dalam numerasi juga boleh menyumbang kepada kejatuhan pencapaian Malaysia dalam pentaksiran global TIMMS dan juga PISA sekiranya tidak dibendung daripada awal.
Menerapkan rasa cinta terhadap mata pelajaran matematik terhadap kanak–kanak menjadi suatu cabaran kepada para pendidik bahkan sudah pasti akan turut dirasai oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka mula melangkah ke alam persekolahan. Matematik sering dianggap sebagai sebuah mata pelajaran yang sukar dan hal ini telah menjadikan matematik sebagai sebuah mata pelajaran yang tidak digemari dan membosankan. Namun apa yang lebih bahaya, wujud situasi ‘fobia matematik’ terutamanya dalam kalangan anak-anak yang baru mula mengenali ilmu matematik. Justeru, Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan kemahiran numerasi anak-anak mereka. Bagaimanapun bagi menyokong perkembangan numerasi yang lebih baik, sokongan kepada anak-anak ini boleh dilakukan secara santai dan bukanlah bersifat memaksa.
Antara kaedah yang boleh digunakan dilakukan oleh ibu bapa bagi membantu perkembangan numerasi anak-anak adalah dengan menggabungkan matematik ke dalam rutin harian mereka dimana ibu bapa perlu sering menyelitkan perbualan dan perbincangan berkaitan matematik semasa aktiviti harian seperti memandu (membincangkan jarak dan masa), menetapkan jadual (mengira perkakas) atau merancang jadual (memahami masa dan tarikh).
Justeru, bermula seawal usia anak-anak sudah mula dapat berinteraksi dengan ibu bapa, maka bermulalah proses rangsangan terhadap deria matematik anak-anak di mana ibu bapa sentiasa mengajukan soalan secara lisan dan spontan berkaitan asas-asas dalam matematik. Soalan seperti asas nombor, perbandingan antara besar dan kecil, panjang dan pendek sudah cukup untuk merangsang deria matematik anak-anak. Proses ini tidak semestinya berlaku secara formal bahkan ia juga lebih baik sekiranya dilakukan oleh ibu bapa secara spontan berkaitan perkara yang berada di sekeliling mereka. Sebagai contoh, masa terluang semasa menempuh perjalanan di dalam kereta dapat digunakan oleh ibu bapa untuk merangsang deria matematik anak-anak dengan mengajukan soalan lisan yang bersesuaian. Soalan seperti “berapa bilangan kereta yang ada di tepi jalan tu?” sudah cukup untuk memberi rangsangan awal terhadap matematik. Walaupun pada dasarnya kemungkinan anak-anak tidak dapat menjawab soalan yang diajukan, maka di sinilah satu lagi peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dengan memberikan maklum balas yang dapat menggerakkan komunikasi kanak –kanak untuk terus bertanya. Maka proses soalan lisan ini akan sentiasa berulang-ulang sehingga anak-anak tersebut merasa puas dengan maklum balas yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Hal ini lebih baik daripada ibu bapa terus memperkenalkan atau menerangkan kepada anak-anak mereka konsep asas matematik tersebut. Bukan itu sahaja, dengan mengajukan soalan lisan seperti itu secara tidak langsung mendedahkan anak-anak dengan bahasa matematik yang sememangnya penting untuk dikuasai sekiranya anak-anak itu ingin cemerlang dalam pembelajaran matematik.
Bukan itu sahaja, berikan tugasan-tugasan seharian yang mudah yang terkait dengan matematik bagi memberi peluang anak-anak mengaplikasi pelbagai kemahiran matematik dalam kehidupan seharian. Selepas itu, ibu bapa boleh memberikan peneguhan positif bagi meraikan pencapaian kecil dan kemajuan dalam numerasi untuk meningkatkan keyakinan dan motivasi anak-anak. Sebagai tambahan, aktiviti yang dijalankan oleh ibu bapa perlulah bersifat menyeronokkan dan merangsag minat anak-anak. Ibu bapa boleh menggunakan pelbagai aplikasi dalam talian atau permainan yang berkaitan matematik bagi merangsang deria numerasi anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan aktiviti pengukuhan numerasi kepada anak-anak mereka bersifat menyeronokkan bagi mengekalkan minat anak-anak. Ibu bapa boleh menggunakan pelbagai aktiviti permainan berkaitan matematik. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dengan permainan matematik yang menyeronokkan, teka-teki dan aktiviti yang mengukuhkan kemahiran numerasi seperti ‘board games’, permainan matematik dalam talian, atau bahkan mencipta cabaran matematik di rumah. Ibu bapa juga boleh menggunakan pelbagai aplikasi teknologi yang boleh dimuat turun secara percuma di dalam telefon bimbit bagi meransang minat anak-anak bagi membantu perkembangan numerasi mereka. Terdapat banyak aplikasi pendidikan, tapak web dan sumber dalam talian yang direka khusus untuk membantu anak-anak meningkatkan kemahiran numerasi mereka.
Bagaimanapun, usaha bagi membantu anak-anak dalam menguasai numerasi bukanlah usaha yang bersifat ‘one off’ tetapi ianya merupakan usaha yang berterusan. Maka ibu bapa perlulah bersabar dalam melakukan usaha ini serta sentiasa menyokong usaha anak-anak. Setiap anak-anak belajar mengikut kadar mereka sendiri, jadi bersabar dan sentiasa memberi sokongan sebenarnya menjadi kunci kejayaan dalam membantu memperkembangkan potensi numerasi anak-anak. Ibu bapa juga perlu elakkan daripada memberi terlalu banyak tekanan kepada mereka dan sebaliknya fokus untuk menjadikan pembelajaran matematik di rumah lebih menyeronokkan dan menarik.
Ibu bapa juga perlu sentiasa menjadi role model dengan menunjukkan sikap positif terhadap matematik. Tunjukkan semangat untuk mempelajari matematik dan elakkan memberi komen negatif tentang subjek tersebut. Sikap ibu bapa boleh mempengaruhi cara anak anda memahami matematik.
Sebagai tambahan, walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh ibu bapa, jangan lupa untuk sentiasa berkomunikasi dan kekal berhubung dengan guru anak anda untuk memahami kemajuan mereka dalam numerasi dan untuk menerima bimbingan tentang cara anda boleh menyokong pembelajaran mereka di rumah. Dengan menggabungkan strategi ini, ibu bapa boleh mewujudkan persekitaran yang menyokong yang memupuk kemahiran numerasi anak-anak mereka dan membantu mereka mengembangkan sikap positif terhadap matematik.