Mengatasi Miskonsepsi Elektrik Murid melalui integrasi Simulasi Phet dan Aktiviti Sebenar
Author: Dr. Nurazidawati Mohamad Arsad
Posted On: April 16, 2026
Dalam era yang berkembang pesat, pendidikan sains memainkan peranan penting dalam membentuk cara kanak-kanak memahami dan berinteraksi dengan persekitaran mereka. Walaupun murid berminat dengan sains khususnya diperingkat sekolah rendah, namun demikian murid juga melihat sains sebagai subjek yang mengelirukan. Salah satu cabaran utama adalah dalam mengajar konsep abstrak seperti elektrik, iaitu konsep yang tidak dapat dilihat, disentuh atau dijelaskan dengan mudah melalui pemerhatian dan pengalaman harian.
Antara salah konsep atau miskonsepsi murid tentang konsep asas elektrik adalah mereka beranggapan bahawa elektrik “disimpan” di dalam bateri dan akan habis apabila digunakan oleh mentol lampu, arus bersifat bersifat statik iaitu tidak bergerak, ada juga yang menganggap suis hanya berfungsi untuk “mematikan” lampu tanpa memahami peranannya dalam melengkapkan atau memutuskan litar. Salah faham ini bukan sesuatu yang luar biasa. Ia berpunca daripada kecenderungan semula jadi kanak-kanak untuk mentafsir berdasarkan apa yang mereka lihat sahaja.
Namun, miskonsepsi awal ini boleh memberi kesan jangka panjang. Apabila murid berulang kali gagal memahami konsep asas sains ini, mereka mula hilang keyakinan terhadap kebolehan diri. Hal ini berkait rapat dengan “efikasi kendiri” murid iaitu kepercayaan terhadap keupayaan mereka untuk berjaya mencapai sesuatu matlamat. Apabila efikasi kendiri menurun, motivasi juga akan terjejas. Murid mungkin kurang berminat untuk terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran, mengelakkan cabaran, dan akhirnya membawa kepada hilangnya minat terhadap sains serta bidang STEM.
Persoalannya, bagaimana kita boleh mengajar sains dengan cara yang benar-benar membantu murid memahami konsep sains?
Jawapannya terletak pada perubahan pendekatan pengajaran. Kaedah biasa dengan memberi penerangan dan menghafal sahaja tidak mencukupi untuk topik abstrak seperti litar asas elektrik. Murid perlu diberi peluang untuk melihat, mengalami, dan berinteraksi dengan konsep yang dipelajari.
Salah satu pendekatan yang berkesan untuk memahami konsep asas elektrik dalam kalangan murid ialah melalui integrasi simulasi maya dengan aktiviti sebenar. Aplikasi simulasi seperti PhET (https://phet.colorado.edu/) membolehkan murid memvisualisasikan proses yang tidak dapat dilihat seperti aliran arus elektrik dalam litar. Mereka boleh mencuba, membuat jangkaan dan melihat hasilnya secara serta-merta. Apabila ini dilakukan bersama-sama dengan aktiviti sebenar seperti membina litar menggunakan wayar, bateri dan mentol, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna .
Aktiviti membina litar elektrik menggunakan aplikasi simulasi PhET dan litar sebenarAktiviti membina litar elektrik menggunakan aplikasi simulasi PhET dan litar sebenar